Hari kedua raya yang sunggah best. Semalam hari raya pertama, selesai solat sunat hari raya, singgah rumah acik Hajar ambil barang-barang HPA dan alang-alang terus beraya. Alhamdulillah, dapat barang beli brang HPA, dapat makan kuih raya dan dapat duit raya lagi walaupun dah tua bangke dah.huuu. Habis beraya terus pergi ipoh ziarah kubur arwah mak tok dan tok serta ziarah rumah mak cho dan acik E, adik beradik mak.
Hari raya kedua, tak sempat nak pergi mana-mana, dari pagi hingga petang tak putus-putus tetamu datang. Sukanye...dapat jumpa sedara mara belah mak dan abah juga. Kegembiraan menerima kedatangan tetamu hanya Allah sahaja yang tahu, tambahan pula ada anak sepupu yang boleh bermain bersama. Riuh rumah dengan suara budak-budak. Dah lama tak main, hari ini dapatlah main dengan budak-budak...senang rasa dihati mengusik anak-anak sepupu.
Suka menerima tetamu tidak kira datang dimana pun samada datang kebilik jika di kolej ataupun datang ke rumah kerana saya mengetahui bahawa datangnya tetamu itu membawa pahala dan pulangnya tetamu itu membawa dosa-dosa kita. Bukan bermaksud tetamu tu tanggung dosa kita pula, nanti semua tetamu datang taknak pulang-pulang pula...hehe. Maksudnya pulangnya tetamu tu menghapuskan dosa-dosa kita, InsyaAllah.
Maka dengan itulah kita disuruh nabi untuk melayani tetamu dengan sebaiknya. Memberi makan minum, meraikan perbualan dengannya dan menyampaikan berita-berita yang baik.
Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman a.s pernah ditegur oleh Allah SWT, kerana pada saat baginda didatangi seorang tetamu dari kaum kafir, baginda tidak sepenuh hati memuliakan tetamunya itu. Baginda merasa tidak perlu memuliakan dan menghargai tetamunya seperti baginda memuliakan dan menghargai tetamunya dari sesama pengikutnya. ‘Disebabkan ia bukan umatku yang beriman’, begitulah fikir Nabi Sulaiman. Lantas baginda hanya memberinya minum dan bercakap seadanya. Setelah tetamu itu pulang, datanglah malaikat Jibril a.s menyampaikan teguran Allah: “Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu ?
Jawab nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?” Jibril bertanya:”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?” “Allah!” Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin. “Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?” “Allah!” “Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?” “Allah!” “Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?” “Allah!”
“Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?” Nabi Sulaiman a.s terdiam dan terus bersujud.
“Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini.” Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:”Wahai nabi Allah, datangilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.”. Bergegaslah Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman a.s dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: “Saudara, tunggu…!”
Tetamu tadi menoleh dan hairan melihat keadaan Nabi Sulaiman. “Kenapa?” “Saudara… sudikah engkau memaafkan perlakuan saya , ketika mana saudara menjadi tetamu di rumah saya tadi?” Orang itu diam. Dalam hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda. Tetapi dia terus juga bertanya: “Kenapa, wahai Sulaiman?” “Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku.”
“Allah? Siapakah dia?” Tetamu itu bertanya. “Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.”
“Lalu, kenapa Dia menegurmu?” “Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?”
“Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?” Tetamu itu bertanya penuh taajub .”Iya…! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu” Nabi Sulaiman meminta.
“Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!” Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.
Walau dengan siapapun kita bersama atau dengan siapa pun kita berjumpa, yang penting tunjukilah akhlak yang baik seiring dengan perintah Allah s.w.t dan sunnah Rasulullah s.a.w.
subhanallah....
ReplyDeleteAlhamdulillah..
ReplyDelete