Thursday, April 24, 2014

Berkat DhuhaMu




Semalam 22 April cukup sebulan pernikahan kami. Subhanallah. Sebulan yang penuh hikmah... sepanjang sebulan ini berkenal-kenalan, cukup indah berkenalan dengan seseorang yang belum pernah dikenali, hikmahNya seperti sudah lama kenal dan terlalu banyak perkara yang hendak dikongsi... walaupun tidak pernah tahu siapa dirinya tetapi sedikit demi sedikit, satu persatu Allah mahu beritahu...dialah insan yang terbaik telah dijodohkan untukmu kerana jodoh itu ditetapkan untuk melengkapi kekuranganmu.

Kami selalu mengingkap kembali kisah perkenalan yang telah diatur Allah. Allah lambatkan pertemuan kami kerana mahu kami menjaga dan lakukan persediaan. Tidak siapa sangka... Perjalananku sambung belaja membawaku menjalankan praktikal di Darul Mubarak, kemudian atas izinNya bekerja dengan travel itu dan seterusnya menjemputku menjadi tetamuNya dalam satu tempoh yang singkat. SubhanaaAllah. Menjadi pembimbing bersama seorang ustaz yang juga pembimbing dalam group yang besar rupanya menjadi wasilah pertemuan jodohku dengan adik kepada sahabat ustaz itu. Siapa sangka. Ada aturan Allah.

Setelah beristikharah beberapa kali mohon pada Allah beri pertunjuk, sekiranya dia adalah jodoh terbaikku maka mudahkan dan segerakan. Subhanallah! Allah beri petunjuk,pada hari kelahiran anak buahku yang kedua alfateh, beberapa jam selepas menerima berita kelahirannya ,  menerima pula pesanan daripada orang tengah menanyakan jawapan istikharahku. Alhamdulillah dengan hati yang lapang dan berserah padaNya..jawapan diberi. 

22 Disember 2013 adalah tarikh merisik dan bertunang. Allah benar-benar Maha Mendengar, rupanya Dia punyai perancangan sendiri... perkahwinan yang pada mulanya hendak dirancang pada bulan Mei diawalkan kepada Mac 2014. Dipercepatkan atas sebab ada majlis perkahwinan sepupu sebelah keluarga lelaki. 

Allahua Allah...Allah sebaik-baik perancangan. tidak perlu sibuk fikirkan siapa 'imam' mu wahai muslimat, cukup usaha berdoa dan lakukan persiapan diri. Allah akan beri jodohmu sesuai dengan dirimu, jika masih belum sesuai atau belum masanya...dia akan beri masa persiapkan dirimu untuk memenuhi kesesuain itu.

Istikharah terus dilakukan walaupun sudah bertunang kerana tempoh pertunangan tidak menghalalkan apa-apa selain bertujuan untuk menuju hari pernikahan. Hubungan yang terjaga, tiada sembang-sembang kosong atau melaghakan.. keluarga menjadi jambatan perhubungan kami. Allah.. kedua-dua pihak merestui ikatan ini.

22 Mac 2014 tarikh pernikahanku dan zauj. Pernikahan yang sepatutnya di jalankan pada jam 10 pagi, ditakdirkan Allah diawalkan kepada jam 9 pagi atas permintaan tok kadi. Subhanallah.... jodoh tidak akan lewat walau sesaat dan tidak akan awal walau seminit.

Alhamdulillah...tidak tahu berapa lama Allah akan jodohkan kami. Tapi doaku agar jodoh ini berkekalan dalam keadaan Allah redha atas hubungan suci ini sehingga ke syurgaMu ya Allah. Jika aku ditakdirkan pergi dulu, minta Allah temukan kami di syurga sebagai pasangan kekasih yang dipilih Allah. begitu juga sebaliknya. kerana kematian itu juga seperti jodoh. ia datang tidak lewat dan tidak awal tetapi tepat.

Akhir kalam, doaku agar kami terpilih menjadi sepasang suami isteri yang disebut-sebut oleh rakyat di langit.









"Addin An-Nasihah ^___^

Friday, April 4, 2014

Cinta Selepas Allah & Rasul




  Alhamdulillah kini telah menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama azman... dia adalah nikmat terindah yang dikurniakan Allah untuk ditaati sebagai suami, insan yang patut di cintai dan dirindui setelah Allah SWT dan Rasul SAW. 

Allah yang Maha baik, merancang sebaik-sebaik aturan. Kini tercapailah impianku keempatku yang hendak dicapai sebelum umur 30. Allah suka pada umatnya yang merancang, mempunyai matlamat, mempunyai visi serta target. Namun kita merancang dengan cita-cita tapi Allah merancang dengan cintaNya. Tak semua yang kita mahu, Allah akan beri.. tapi Allah akan beri apa yang kita perlu.


 Allahummasolilalla Muhammad. Memenuhi sunnah Rasulullah yang besar pengertian dan pegajarannya.

"Dan aku ini bernikah, maka siapa yang membenci sunah aku, maka dia bukanlah daripada golongan aku" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai seorang yang berusaha mendapat perhatian Allah, apa lagi yang hendak dicapai selain berusaha melakukan semua yang Allah suka semua yang Allah 'offer' buat hambanya.

"Apabila berkahwin seseorang hamba, maka telah sempurnalah sebahagian daripada agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam sebahgian yang lain" (Riwayatal-Hakim)

Selalu mendengar ayat di atas tapi tak tahulah maksudnya secara mendalam. Namun tahu pasti ia sesuatu yang istimewa dan beruntung bagi sesiapa yang mendapatkannya... "Sempurnalah sebahagian daripada agamanya" ayat yang terasa sejuk dan tenang. "Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam sebahagian yang lain" ... hmm.... setelah berkahwin, banyak peluang yang boleh dilakukan untuk gapai redha Ilahi. Yang pasti, berganding bahu bersama suami untuk menuju Ilahi.

Allahumma...sedang berusaha untuk melakukan semua sunnah-sunnah Rasulullah dalam perkahwinan. Semoga dengan mengamalkan sunnah-sunnahnya dapat mengubati rindu pada rasul yang tidak pernah dilihat wajahnya namun mendalam cinta buatnya.

 Insyaallah, maka dah boleh fikirkan pula impian untuk seterusnya! selagi Allah masih pinjam nyawa :)  
Bukankah impian itu satu doa.

:)


"Addin An-Nasihah ^___^

Saturday, March 8, 2014

9 Adab Majlis Walimah

Bismillahirahmanirrahim. Selawat & salam buat Rasul junjungan SAW..


Alhamdulillah, walaupun masa amat mencemburuiku akhir-akhir ini.. tapi sempat juga membuka blog Hati Sesejuk Salju yang hampir-hampir nak bersawang ni.. Sempat tak sempat, sambil-sambil tunggu print penanda buku ni.. boleh la curi-curi masuk disini.

Nak update apa? Sendiri pun tak tahu... ini kes pakai taip saje apa yang difikirkan dalam fikiran kala ini.

Dan sebenarnya nak share satu benda penting untuk tatapan dan peringatan bersama termasuk diri ini juga.

9 Adab Majlis Walimah

Antaranya ialah : 

1) Bertujuan untuk melaksanakan ibadat kepada Allah dan bukan utk berbangga-bangga atau menunjuk.

2) Menghindari perbuatan syirik dan khurafat. Di dalam masyarakat kita terdapat beberapa adat yang melibatkan penyekutuan terhadap Allah.

3) Mengelak daripada melakukan maksiat. Mewujudkan suasana yang yang boleh membawa kemurkaan Allah.

4) Mengundang golongan yang kurang berada. Bukanlah satu sikap yang mulia apabila tetamu yang bakal hadir dipilih dari kalangan yang kaya dan ternama sahaja. Rasulullah saw pernah bersabda: 
"Seburuk-buruk makanan adalah makanan di satu walimah, (yang) diundang kepadanya orang-orang kaya dan terhalang darinya orang-orang miskin." 
(HR : Muslim dan Baihaqi)

5) Mengelakkan ikhtilat (percampuran di antara lelaki dan perempuan). Asingkan tempat untuk tetamu lelaki dan wanita semampu mungkin.

6) Menghindarkan hiburan yang boleh merosakkan nilai ibadat. Sakinah mawaddah warahmah bukan hadir daripada alunan muzik dan lagu-lagu perkahwinan. 

7) Menghindarkan pembaziran, iaitu dengan mengadakan majlis yang melampaui kemampuan sehingga sanggup berhutang-piutang.

8) Mengelakkan perhiasan yang melampau. Sebahagian masyarakat amat gemar mengandam pengantin dan menghias rumah sehingga berlebih-lebihan. Seringkali pengantin perempuan dijadikan barang tontonan dan dipamerkan di khalayak umum. Apatah lagi jika 'Pak Andam' dan jurugambar yang digunakan adalah kaum lelaki.

9) Memberikan ucapan selamat serta mendoakan kedua mempelai serta keluarga mereka. Para hadirin jarang sekali mendoakan keberkatan apabila melihat pengantin, bahkan tidak mengetahui pun doa tersebut. 

PENCERAHAN :
Cuba bayangkan seandainya semua hadirin mendoakan pengantin sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah saw alangkah indah dan bahagianya. Antara doa yang sering diucapkan baginda kepada para pengantin: 

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
"Se moga Allah memberkatimu dan mencurahkan barakah ke atasmu dan mengumpulkan kedua-dua kamu dalam kebaikan." (HR : Ahmad & Ashabus Sunan)

Tidak lupa juga doa kepada keluarga pengantin seperti ucapan Rasulullah saw :
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُم
"Ya Allah, ampunilah mereka, dan rahmatilah mereka dan berkatilah mereka pada apa yang telah Engkau kurniakan kepada mereka (anak menantu)." (HR : Muslim)

Dari al-Hasan : Bahawasanya Aqil bin Abi Thalib menikah dengan seorang wanita dari kabilah Juisyam. Kemudian datanglah para tamu. Mereka mengucapkan, “BIRRAFA’ WAL BANIN (semoga bahagia dan ramai anak !).” Dia menjawab: “Janganlah kalian melakukannya, sebab Rasullullah saw melarangnya." Mereka bertanya : ”Lalu apa yang harus kami ucapkan wahai Abu Zaid ?”

Dia menjawab: “Ucapkanlah “BARAKALLAHU LAKUM WA BARAKA ‘ALAIKUM (SEMOGA ALLAH MELIMPAHKAN KEBERKAHAN PADA KALIAN DAN SEMOGA ALLAH MELIMPAHKAN KEBERKAHAN ATAS KALIAN).” Begitulah kami diperintahkan”

Bukan kata-kata lain yang biasa kita ucap dan dengarkan seperti : “Semoga berbahagia di kehidupan baru." Mungkin saja akan ada suatu masa yang mereka tidak bahagia. Mana ada orang yang berbahagia sepanjang masa di kehidupan baru. Melainkan kehidupan barunya itu dalam syurga! “Semoga kekal ke anak cucu.” Sampai anak cucu je ? lepas tu bercerai-berai ? Mungkin anak cucu saja ramai tak terkira tapi hati mereka tak bahagia...

KESIMPULAN :
“Semoga barakah KEPADA kamu”, adalah doa buat kebahagiaan yang bakal mereka terima buat perkara-perkara yang mereka sukai dari perkahwinan itu, dan “Semoga barakah KEATAS kamu” pula adalah doa kecekalan bila menghadapi kesusahan, kesedihan dan apa jua cabaran yang bakal mereka hadapi. Akhir sekali adalah doa semoga mereka dikumpulkan dalam KEBAIKAN selamanya...

Wallahu a'lam

* Bagi diri ini, adanya keberkatan sebuah walimah adalah apabila dapat bermasyarkat, mengembirakan orang lain dan tiada unsur-unsur maksiat & pembaziran.. Semoga Allah mudahkan. Amin.


"Addin An-Nasihah ^___^

Thursday, February 6, 2014

Baitul Muslim Idamanku


Cahaya nur Ilahi,
Menjadikan terang seluruh dunia,
Tanpa-Nya tiadalah kita,
Tiada-Nya tiadalah cinta,
Tanpa cinta tiadalah manusia.

Namun,
Cinta seharusnya dilahirkan dengan dasar cinta kepada Tuhan,
Di atas jalan lurus,
Di atas nama perjuangan,
Bukan namanya cinta barakah,
Tanpa didasari iman.
Kupohon dalam setiap rintihan doa,
Kumohon dalam sujudku,
Moga Baitul Muslim ini menjadi mahar syurga,
Anggotanya menjadi ahli-ahli syurga,
Hati-hati mereka dekat dengan Allah yang Esa.
Atas nama perjuangan, 
Biar Baitul Dakwah ini hasilnya pejuang Islam,
Biar ikatan ini hasilnya hati-hati yang hampir dengan al-Quran,
Meng-islah seluruhnya menjadi perindu syurga ar-Rahman.

Baitul Muslimku,
Bukti kasihku pada as-Siratul Mustaqim,
Islahkan saudara,
Biar menjadi bukti wujudnya cinta kita,

Bahagia hingga syurga. 

Insyaallah 

"Addin An-Nasihah ^___^

Sunday, October 27, 2013

Home Tuisyen

Bismillahirahmanirrahim...

Moga masa yang diluang untuk menulis di blog ini, mendapat redha Allah.

Lama sudah rasanya tidak berceloteh disini. Ini dah nak penghujung bulan 10 dah. Allah... lepas ini bulan Nov, kemudian Dis. Dan masuk tahun baru 2014. 

Allahhu Allah...

Perjalanan hidup yang semakin mencabar! Sebulan dua yang sibuk, membuat part time di rumah dengan membuka kelas tuisyen yang diberi nama "Home Tuisyen-Pecut SPM".

Alkisahnya...

Aku : "Acik, kita kena cari back up duit tambahan ini, melihat kepada kos sara hidup yang makin tinggi ini.."
Acik : " betul..betul..betul..memang kena pun"
Aku : "Yela,mana nak penyimpan lagi... nak berbelanja lagi... bayar PTPTN lagi, tapi tu la... tak tahu nak camne"
Acik : "Macam ini, along rasa apa yang along boleh atau minat nak buat?"
Aku : "Entah.. minat mengajar math je la..hehe" (Cita-cita nak jadi cikgu math tak kesampaian..huhi)
Acik : "Aa... itu le dia nya, along buat la tuisyen kat Felcra"

Gitu la ceritanya, sahabatku Acik Wani ni la mencetus idea dan semangatku. Thanks a lot my dear :)

Balik je rumah, penuh semangat berkobar-kobar...tak tunggu malam, petang tu jugak ku bawa laptop ke ruang tamu... jari jemari laju menaik "Kertas Kerja Home Tuisyen". Fuh~~ lain benar semangat kali ini, biasa buat je tuisyen kat rumah ini time cuti-cuti sem... tapi kali ini tekad nak buat dengan sistematik! Berjadual, beryuran dan mempunyai objektif!

Simple punya kertas kerja, tak ada nak submit kat siapa-siapa pun... just guide line untuk diri sendiri agar pengurusan lebih terurus dan tak lari dari objektif. 

Objektif : menyediakan kemudahan kelas tambahan buat anak-anak felcra sebagai persediaan SPM. (Dalam kg ku ini tiada kemudahan tuisyen, kalau nak kena keluar ke Seri Iskandar)

Yuran : Aa yuran tak ambil tinggi pun, adik-adik ini pun kata murahnya. yeker murah. Okeee.... first dah search internet dan survey pusat tusyen yang ada di Seri Iskandar. So, disebabkan buat tusyen di rumah, no sewa, just perlukan kos bil elektrik sahaja. Then, menurut tunjuk ajar di google, yuran dikenakan mestilah setaraf pengalaman terutamanya.

Oke! disebabkan kurang pengalaman, bukan tak ada langsung ada... cuma sebelum ini mengajar kelas tuisyen Sekolah rendah lepas SPM dolu-dolu... then bila cuti sem mak suruh ajar budak-budak sekolah rendah matematik, atas permintaan mak ayah dorang sebab cuti jangan banyak main! Dan pernah la ajar 2 orang adik lelaki ini tuisyen Add Math. Itu je...huu.. so pengalaman sangat-sangat sedikit ...kasihan! 

Then try juga menyamar tanya pusat tuisyen diluar, berapa yuran..heehe... 1 subjek mereka letak RM 30. Erm..so, kena la letak kurang dari situ sebab ini bukan pusat tuisyen ini home tuisyen! wee....

Subjek : Okee...cakap pasal subjek plak, ku tanyakan dua sahabat baikku.. Maryam & Acik Wani. At least sedikit sebanyak, boleh la bantu anak-anak felcra ini untuk subjek lain juga.

Aku pun sms mereka "Boleh mengajar subjek apa?"

Maryam : "Prinsip Akaun"
Acik Wani : "Biologi"

Okee... sebenarnya kami bertiga memang pernah berbincang untuk mengajar, agar ilmu yang dimiliki tidak dilupakan. Kisahnya, Maryam insyaallah nak sambung degree bulan 12 ini, ambil PJJ, so dia nak refresh subjek Akaun sebelum sambung degree. Dan aku?? Aa bukan nak sambung master ye... tapi sebab masalah! Masalah apabila aku kena hafal semula sifir untuk menjawab soalan SPA baru-baru  ini...Allah..seha..seha....! Tu laa....kat office tahu pakai kalkulator je.. dan soalan simple SPA pun tak reti jawab..adoi, padan muka mu seha! 

Promosi : Diantara cara-cara aku nak menyakinkan ibu bapa menghantar anaknya belajar dengan kami adalah dengan menyenaraikan latar belakang pengajian kami. Bermula dari sekolah menengah sehingga ke pusat pengajian tinggi. Ini bukan promote diri! Tapi... strategi, namun tidak dimentionkan nama mentor-mentornya, just maklumkan subjek dan latar belakang mentor. Gelaran kami adalah mentor, lebih sesuai..iaitu pemudah cara :)

Jadual : Jadual aku susun mengikut subjek, dari jam 8 malam - 10 malam setiap hari Isnin - Jumaat ada kelas. Hujung minggu?? No...Weekend just for my family and program :) So, time bila nak study atau dalam erti kata lain nak prepare mengajar? ..... No time just dont waste time, ni dah macam orang nak ambil exam SPM dah ni... Tido lambat & bangun awal! Aa ..macam tak berbaloi tapi... Moga ada sahamnya disisi Allah.. Ya Alllahhh....datangkan lah ikhlas dalam hati ku. Aa. yang penting mak abah redha dan merestui .. mak abah kan nak orang jadi cikgu kan... jadi le...hehe  :)

Okees... setakat itu la kisah ku membuat kertas kerjanya. Then setelah selesai, ku bentangkan pada mak.. kebetulan mak datang ke ruang tamu. So mak kata ok! Cakap kat mak, "Ok, nanti orang buat promosi, tampal sapa nak tuisyen kat masjid atau kedai-kedai". Mak suka. kertas kerja pun dah siap.

Seminggu..dua minggu... tiga minggu...senyap..... no promosi.. no action...

Suatu hari sembang petang dengan sahabatku acik. 

"Along, camne tuisyen along tu, acik dah cari buku Bio dah kemas-kemas hari tu..hehe"
"Entah la acik...semangat ada dah tapi, ni la sekejap je...tak tahu nak mulakan"

...itu le kisah si Seha yang beria neh  ... ayak! =___=

Tiba-tiba, suatu malam....kedengaran bunyi motor-motor di depan rumah. Mak yang pergi tengok siapa kah gerangannya.....jeng..jeng.. tiba-tiba..

"Nasihah..! nasihah..!" mak panggil. 
'Aii..sape plak datang ini, rasanya takde pun buat promosi tuisyen lagi kalau orang nak daftar pun' 
'Takkan orang datang merisik...malam-malam kan' kehkeh...

Tengok mak datang, mungkin lambat sangat aku pergi ke mak, nak cari tudung...tiba-tiba tak jumpe! haha

Tanya mak "Kenapa? Sapa? Ada pe? Takkan budak nak tuisyen..orang mana bagi tahu sape2 lagi mak"
Mak kata : "Pergi je la tengok... "

Keluar je pintu, nampak 3 orang budak perempuan. Aku buat muka blur...dame tengokku, aku pun tengok dame 'ish sapa dame ni, kenal ke...'
Lepas bersalaman..senyum..dapa pun senyum...

"Erk..kita kenal ke?" Tak tahu nak tanya pe!
"Tak kenal..." 
'Aikk.....'
"Erm...kenapa datang?" Ish..bleh plak terpancul soalan tu..huhu
"Tak mak saya kata akak nak buat tuisyen"
Ohhh..sembang-sembang baru tahu, sorang tu anak mak cik siti, mak cik siti memang rajin tanya samada boleh tolong mengajar anaknya tak, sejak zaman cuti sem dulu-dulu lagi.

Walaupun agak pelik, mana dame tahu aku nak buat tusyen, tak pernah bagi tahu mak cik siti... yang tahu hanya mak..erm...tapi tengok mak tadi macam tak nak ngaku.hahaha.. Walaupun hati masih tertanya-tanya, tapi perbincangan tetap diteruskan, berkenaan subjek dan borang pendaftaran. Mereka nak kumpul kawan-kawan yang nak join sekali tapi aku terhadkan 10 orang untuk satu subjek.

Habis je berbincang...mereka balik. Pergi la jumpa mak,

" Mak eh bagi tahu mak cik Siti yang orang ada plan nak buat tuisyen" gelak..gelak..haha
" Mana da.."
" Pelik..mana dame tahu, orang tak kabo sape-sape pun lagi, tak buat promosi pun lagi"
" Tapi hari tu ada la sembang sikit dengan mak cik siti'
" Ohhh...ada lah..orang agak dah...hahah"
 
Itulah mak kesayanganku, yang sentiasa lebih bersemangat apabila melihatnya anaknya bersemangat, dan selalu menyokong dan memudahkan anaknya asalkan cita-cita, perancangan dan impian anaknya tercapai.
Apa kurangnya abah, lepas mak bagi tahu aku nak buat tuisyen untuk budak SPM... abah pun pasangkan lampu di tempat pembelajaran itu berlangsung...di bawah papan putih (asset pertama home tuisyen ku ini ..hhuhu)

Thanks mak abah! Love U Forever! Puan Raudah pun sama...selalu bagi idea-idea ..hoho.. Dah nak bersalin dah tu bulan 12, weweee...mak ngah dapat anak sedara lagi! :)

Alhamdulillah, minggu ini minggu terakhir mengajar adik-adik ini...pasti merindui mereka! Tapi..insyaallah  banyak kekurangan namun moga ilmu yang dikongsi dapat membantu mereka. Kenangan dan pengalaman yang pasti tak dapat dilupakan ... :)

Semoga kejayaan milik adik-adik ku ini... Moga dipermudahkanNya. Amin.

Thanks Allah untuk kehidupan yang mencabar ini!  :)






"Addin An-Nasihah ^___^

Friday, September 13, 2013

Melodi Bersama

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan menyebut nama Allah, hatikan menjadi tenang... setenang mengalirnya air yang mengalir di anggota wuduk orang yang berwuduk untuk mengerjakan qiamulail di sepertiga malam. Allahurabbi.

Salam kerinduan buat Nabi Muhammad SAW, walaupun tidak pernah bersua namun jauh disudut hati.. ada kerinduan yang tidak pernah surut dan hanya akan terubat sehingga hari akhirat..bertemu denganmu ya Rasullullah..dalam keadaan mengharapkan syafaatmu. Allahumasollialamuhammad.....

Ya Allah!
Masa berlalu..tanpa berhenti walaupun sesaat.
Rindunya daku pada masa lalu kadangkala bertamu..
Rindu akan naqibah-naqibah, kakak-kakak, adik-adik dan sahabat-sahabat,
Walaupun jauh..tapi ingati tidak pernah putus merindu..

Benarkan..bertemu tak jemu..
Berpisah .. tak gelisah..
Jika kita bersahabat kerana Allah..

Jauh mana pun jarak, 
Lama mana pun masa,
Itu bukan penghalangnya.. untuk terus berhubung,
Untuk terus saling memberi peringatan,
Nasihat menasihat..bertukar pandangan,

Jarak, masa.. itu satu ujian sebuah perhubungan,
Ujian untuk lebih menghargai,
Ujian untuk lebih menyayangi,
Adakah persahabatan yang terbina ..
Sekadar di depan mata, jasad disamping..
Atau ia terbina dari lubuk hati yang ikhlas..

Ya Allah!
Kekalkan hubunganku dengan semua orang-orang yang ku pernah jalinkan persahabatan..
Manusia tiada daya..melainkan dengan izinNya, 
Bersyukur bertemu dengan adik-adik yang menghiburkan hati, 
Bersyukur ditemukan dengan sahabat-sahabat yang menyenangkan,
Bersyukur kerana dipertemukan dengan mereka yang baik-baik..

Ya Allah! Moga diriku mampu memberi manfaat pada orang yang ku pernah kenal. Amin.

p/s : Menulis sambil mendengar lagu yang pernah dikongsi oleh teman-teman yang pernah akrab suatu masa dulu. 


Melodi bersama ~ ~  

:)


"Addin An-Nasihah ^___^

Friday, September 6, 2013

Hidup jangan fikir diri sendiri je

Kadang kita ni,
bila hidup kita senang,
mungkin kerana keluarga,
atau mungkin kerana Allah berikan kita rezeki dari kerjaya kita,
kita mudah lupa orang yang lebih miskin, yang mungkin Allah uji dengan kesempitan hidup dan pelbagai kekurangan yang lain.

Lantas bila minyak naik xx sen,
kita memang tak terasa.
Kita jelek dengan orang yang bising dengan naiknya xx sen seliter,
kita rasa meluat.
Sebab kita kaya.
Atau mungkin sebab keluarga kita kaya.

Oleh kerana kita kaya, dan kenal juga orang-orang kaya yang lain, kita bengang bila ada orang kaya, yang hidup mewah, yang bising juga dengan kenaikan harga petrol. Kita pun marah:

"Kau pehal ha? Selama ni aku tengok kau hidup mewah, beli kereta mahal, pakai baju mahal, pergi melancong sana-sini, makan mahal-mahal, lepas tu minyak naik xx sen pun kau bising? Kecoh la."

Tapi kita tak tahu, yang kawan-kawan kita yang kaya tu sebenarnya pun tak terjejas dengan kenaikan harga minyak. Cuma, kawan-kawan kita yang lain tu berbeza dengan kita. Dia tak tengok dirinya yang kaya, dan tak terjejas.

Dia hidup dengan fikir keadaan orang lain, yang Allah uji dengan kekurangan wang, kesempitan hidup, yang selama ini sudah sedia terbeban dengan kehidupan, kini bila minyak naik, pasti mereka akan tambah terbeban lagi. Sebab itu dia bersuara. Walau selama ini hidup mewah. Sekurang-kurangnya itu usaha dia untuk saudara dia yang lain, yang kekurangan.

Kadang kita kena beringat.
Rezeki kita bukan kita yang punya. Allah yang punya.
Kita ada kelebihan, tak bermakna kita kena lupakan orang lain yang kekurangan.

Kita tak terjejas,
tak bermakna orang lain tidak terjejas.
Hidup jangan fikir diri sendiri aja.
Sekian.. copy & paste tapi cukup untuk manyampaikan sesuatu perkara tentang 'hidup jangan fikir diri sendiri aja' ..

"Addin An-Nasihah ^___^

Friday, August 23, 2013

Prinsip Asas Kewangan Peribadi

Bismilahirahmanirahim..

Raya oh raya... raya kali ini betul-betul menguji ..  Bila masih belajar..rileks je, bila raya pun boleh lagi dapat duit raya..hehe.. orang selalu tanya bila nak habis belajar?

Tapi! Bila dah koje ni..time rayanya jadi lain skit..!  :(

Biasa orang tanya "bila nak kawin?".. tapi soalan tu dah ready dah nak jawab..siap ada skema jawapan lagi gitu...fuhh~

Biasalah...soalan yang kita dah jangka akan ditanya, akan mudah dijawab, masalahnya sekarang ini..soalan luar jangkaan!

"Bila nak beli keretanya?"

......??????.....

Rasanya soalan agak buat kita pelikkan... erm.. kenapa mesti tanya soalan tu..hehe.. Mungkin orang kata, dah keje kena ada kereta bagai so tak payah tumpang orang pergi keje..ia kan keperluan juga...banyak lagi la sebab-sebabnya...

Ye betul-betul..alhamdulillah, walaupun agak tertekan mula-mula, akhirnya waras juga kembali. Pedulikan orang nak kata apa.. Kita sahaja yang tahu situasi kita. Selagi ia tak mendesak, pedulikan apa orang nak kata.

Baru-baru ni ada seorang adik telepon..

"Kak seha, apa perkembangan terkini??
"Perkembangan apa?" (Ingatkan nak tanya pasal bila nak kenduri ke.. tu kan soalan femes sekarang : p)
"Yela, takkan tak beli kereta lagi ke?"
(Soklan ini lagi....zzzz)

Sabar wahai hati, abaikan pertanyaan mereka. Mereka tak tahu situasi kita & tak boleh salahkan mereka juga. Kita jawab dengan berhikmah ye... :)


Copy & paste :-

4 Prinsip Asas Kewangan Peribadi

Bila dah betul-betul ada kesedaran dan semangat bebas dari segala hutang, mungkin sahabat semua boleh pakai PRINSIP KEWANGAN yang saya amalkan ni.

Prinsip #1: Beli secara tunai.
Henti dan jauhkan segala urusniaga yang dinamakan ansuran, installment, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah dsb. Kalau terpaksa berhutang, itu maksudnya kita belum mampu beli barang tu lagi. So, simpan dulu duit sampai cukup, baru beli.

Prinsip #2: Hidup di bawah kemampuan, bukan ikut kemampuan.
Beli ikut keperluan, bukan ikut kemampuan, apatah lagi ikut kemahuan. Kalau mampu pakai kereta Proton Inspira, pakai Proton Saga jer lah dulu. Lupakanlah dulu perkataan “bergaya” dalam hidup tu buat sementara waktu sampai kita benar-benar mampu untuk bergaya. Biar tak bergaya, asalkan poket kita kaya.

Kalau ada barang yang bukan keperluan di rumah, lebih baik jual. Downgrade life style buat sementara waktu. Kalau sekarang ni subcribe Astro full channel, apa kata kurangkan channel-channel tu atau terus hentikan langganan Astro! Kalau sekarang pakai kereta besar, down grade kepada kereta yang cukup untuk keperluan jer. Kalau sekarang suka beli makan di luar, apa kata masak di rumah jer atau bawa bekal jer ke pejabat. Pointnya, hidup di bawah kemampuan.

Prinsip #3: Mulakan tabiat menyimpan walaupun sedikit.
Sikit tak apa, asalkan simpan. Saya dulu pun mula menyimpan RM20 jer sebulan. Buat potongan gaji ke akaun Tabung Haji (bukan tunggu duit lebih hujung bulan). Setiap kali naik gaji, saya akan tambah potongan gaji ke Tabung Haji. Kalau tak mampu simpan RM20 sebulan, simpan la RM2 sehari, masuk dalam tabung khas. Nanti hujung bulan masukkan RM2 sehari (RM60 sebulan) tu ke akaun bank. Yang penting mesti menyimpan.

Prinsip #4: Bina pendapatan kedua.
Libatkan diri dalam bisnes, tapi bukan skim-skim ‘bisnes’. Anggap gaji tu sebagai duit untuk hidup bulan-bulan, dan bisnes sebagai sumber untuk tambahkan simpanan. Simpan hasil bisnes 100%. Kalau nak guna pun, jangan lebih 50%! Duit hasil bisnes memang terbukti mempercepatkan kami bebas dari hutang, alhamdulillah.

Second income penting sebagai ‘backup’ income utama, dan untuk tambahkan simpanan. Azizi Ali, Pakar Kewangan Peribadi sarankan setiap orang perlu ada second income.


p/s  Sara hidup makin lama makin tinggi, tekanan hidup semakin menjadi2 dalam masyrakat..lihat sahaja isu masyarakat sekarang tapi walau pape pun, Kita bertanggungjawab atas kehidupan kita..jadi buatlah pilihan dan keputusan yang terbaik.. :)

"Addin An-Nasihah ^___^

Tuesday, August 20, 2013

Sebuah kehidupan


Perkongsian pintar :)
 
Tidak perlu iri hati dengan kelebihan manusia.
Orang yang iri hati tidak menghargai kelebihan nya.

Kebahagiaan bukan untuk orang yang punya kemewahan.
Tetapi untuk orang yang hidup penuh kesederhanaan dengan hati penuh kesyukuran.

Jika kamu mampu bersyukur dengan apa yang Allah berikan.
Maka tidak perlu cemas dengan apa yang belum kamu dapatkan.

Allah memberi kesakitan dan kelukaan.
Supaya kita membina kekuatan dalam kehidupan.

Allah selalu memberi yang terbaik buat diri mu.
Mesti kamu mesti merasai sakit terlebih dahulu.

Jangan pernah mengeluh dengan keadaan diri.
Apa pun yang terjadi terimalah dengan lapang hati.

Hidup ini bukan tentang apa yang di fikirkan oleh orang yang membenci mu.
Tetapi tentang apa yang di fikirkan oleh ALLAH yang menyayangi mu.

Kadang-kadang lebih mudah memaafkan mereka yang terang-terangan berbuat kesalahan.
Daripada mereka yang tidak jujur di dalam persahabatan.

Kamu selalu lebih kuat dari sakit mu.
Lebih Lebih tabah dari derita mu.
Lebih sabar dari masalah mu.
Selama ada ALLAH bersama-sama mu.
INSYAA ALLAH.
(^_^)v
♥♥<~*


"Addin An-Nasihah ^___^

Friday, July 19, 2013

Handphone masuk hospital

Allahu Akhbar...

Diuji olehNya dengan kata-kata.

Handphone dimasuki air semasa bercuti di tepi pantai Marang Terengganu baru-baru ini. Kesannya, speaker handphone tidak berfungsi lagi. Bila speaker rosak, tak boleh la dengar call in, mesaj masuk dan sebagainya. Tetapi masih boleh mendengarnya dengan menggunakan earphone. Hampir sebulan jugalah, menggunakan handphone yang bisu. 

Suatu petang, berborak dengan seorang sahabat. Bercerita tentang handphone yang sudah membisu.

"InsyaAllah lah, setakat ini tak ada lah rasa tensen ke pe ke sound handphone takde ini"

Sememangnya, ketiadaan sound hanphone itu tidak menganggu pun harianku atau mengugat kegelisahan. Namun telah berusaha ,bawa ke kedai untuk baiki tapi kena bawa ke centrenya. So, tertangguh lagi untuk memperbaikinya.

Keesokkannya, setelah sebulan tiada tanda-tanda handphone itu akan rosak, tidak sakit atau pun demam..bagi ku ia sihat macam biasa cume bisu sahaja. Tapi di takdirkan Allah. Sebelum tidur, handphone sihat seperti biasa tapi bila bangun pagi nak lihat jam di handphone. Handphone sunyi, tiada cahaya, tiada gambar dan kaku. Handphoneku mati tak boleh on langsung. Ingatkan kurang air, so bagi lah minum (charge h/p) tapi senyap..tak ada langsung tanda-tanda ia sedang 'minum'. 

Bagaikan seorang manusia yang sihat walafiat tetapi tiba-tiba Allah cabutkan nyawanya dalam tidur. Ya Allah, mungkinkah ujian ini teguran atau peringatan darimu...

Jika dahulu menggunakan h/p tanpa suara, kini h/p tanpa nyawa. Kali ini ku akui, ia sedikit tergugat. Ku kembali menggunakan h/p lama yang hampir 3 bulan tidak menggunakannya. Alhamdulillah, h/p lama masih bleh digunakan. 

Memang ku akui, amat sayang dengan h/p ini. Namun, apa yang kita miliki ini pinjaman sahaja, Allah pemilik utamanya. Walaubagaimanapun, putus asa bukan pilihan diri. Petang esoknya, sahabat-sahabatku yang baik menemaniku ke center untuk membaikinya. Sebelum itu telah mengeluarkan sejumlah duit sebagai preparation untuk pembayaran sekirannya ia boleh dibaiki.

Lastly, handphone kesayanganku dimasukkan ke hospital (kedai)...huhu..Berapa lama ditahan pun tidak tahu... 

Sehari berlalu, tiba waktu petang..mendapat panggilan daripada 'hospital', memaklumkan jenis kerosakan dan memberi tahu jumlah RM perlu dibayar. Kos rawatannya boleh tahan tapi masih di bawah bajet duit yang dikeluarkan semalam dan masih ada baki. Minta pihak 'hospital' tunggu untuk saya call balik, nak fikir dulu walaupun sebenarnya dah ada kata putus. Sebab nak jugak h/p tu sihat...huhu

Tanya pendapat sahabat di office.

"Ok tak harga baikinya RM.......? Lagi pun masih dalam bajet, ok la kot eh...sebab bajet pun banyak tu, kalau lebih tu nak kena pikir balik la nak baiki tak"

Tidak sampai seminit, pihak 'hospital' call lagi dan......................

"Maaf Cik Nasihah, saya salah bagi tahu, sebenarnya harganya .................."

Harganya lagi tinggi...wuhaaa....hampir-hampir menghabiskan duit yang telah di bajetkan :'(

Allahu Allah...Allah benar-benar mengujiku di Bulan Ramadhan ini. Mungkinkah salah pada bicara, atau pada sikap sambil lewaku. Waallahua'lam..sesungguhnya Allah lebih mengetahui. Jika banyak bicara, kurangkan dan jika bersikap sambil lewa, tolong lebih serius ye nasihah ishak lepas ini....!!

Kutiplah ibarah (pengajaran) dari setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita... Jangan terlalu dan selalu ambil mudah. Pasti ada sesuatu yang Allah nak uji & tegur. Tiada apa yang Allah mahu melainkan nak kita menjadi lebih baik ..... samada dalam menjalani kehidupan atau dalam mentaatiNya & mencintaiNya lebih daripada isi dunia.

Sesungguhnya, aku mencintai hanphoneku itu keranaMu Allah, namun jika handphone itu melalaikanku atau mengurangkan masaku denganMu atau niat asalku untuk menggunakannya kerana-Mu telah lari... maka sedikit ujian dan teguranMu ini ku terima dengan hati yang penuh kesyukuran.......

Bulan Ramadhan bulan rahmat, syukran ya Allah kerna masih memberi pinjam nyawa ini dan masih memberi ujian dalam kehidupan sebagai tanda kasihMU pada hambaMu yang kerdil ini.. Sudah memasuki fasa ke 2... Fasa keampunan. Moga taubat kita semua diterimaNya. Aminnn.





"Addin An-Nasihah ^___^

:::SAHABAT-SAHABATKU:::